Lelaki terperangkap, kereta dihempap pokok tumbang

Seorang lelaki terperangkap selepas kereta dinaikinya dihempap sebatang pokok di Bandar Seri Damansara
Seorang lelaki terperangkap selepas kereta dinaikinya dihempap sebatang pokok di Bandar Seri Damansara
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki terperangkap selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian di Jalan Tanjung, Bandar Seri Damansara di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian sekitar 12.51 tengah hari, pemandu berusia 30 tahun itu terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika dia sedang memandu melalui jalan tersebut dalam keadaan hujan lebat.

"Pokok berkenaan turut menghempap beberapa buah kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan tersebut. Orang awam memaklumkan, terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap 15 buah kenderaan diletakkan di tepi jalan.

"Siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati, ada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah terperangkap dalam sebuah Perodua Myvi kerana mangsa sedang memandu melalui jalan tersebut dalam keadaan hujan lebat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa yang tidak cedera diselamatkan oleh anggota bomba.

Beliau meminta kesemua pemilik kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu supaya membuat laporan di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: