Beberapa kawasan di Kuantan dilanda banjir kilat

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir dari Kampung Kempadang di sini selepas kawasan itu dinaiki air ekoran hujan lebat berterusan sejak Khamis.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir dari Kampung Kempadang di sini selepas kawasan itu dinaiki air ekoran hujan lebat berterusan sejak Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Hujan lebat berterusan sejak malam Khamis menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat awal pagi Jumaat.

Antara kawasan terbabit ialah sekitar pusat bandar raya, Sungai Soi, Indera Mahkota, Beserah dan Seberang Balok di sini.

Turut dilaporkan, berlaku beberapa kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat serta angin kencang.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan yang dinaiki air yang tular di laman sosial Facebook termasuk sekitar Seberang Balok di sini mendapati air sudah surut sepenuhnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggerakkan operasi memindahkan 33 mangsa banjir dari Kampung Kempadang, Kampung Rumbia dan Kampung Bugis, di sini.

Air yang melimpah di kawasan Seberang Balok surut sepenuhnya hasil tinjauan sekitar jam 8 pagi pada Jumaat.
Air yang melimpah di kawasan Seberang Balok surut sepenuhnya hasil tinjauan sekitar jam 8 pagi pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, 24 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Kempadang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang.

Menurutnya, sembilan lagi mangsa melibatkan dua keluarga dari Kampung Rumbia dan Kampung Bugis, Beserah dibawa ke PPS SK Beserah.

"Sehingga jam 8 pagi Jumaat, bomba telah memindahkan 33 mangsa dari 11 keluarga ke dua PPS yang dibuka," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ismail berkata, pihaknya turut menerima tujuh panggilan pokok tumbang.

Kuantan antara daerah yang menerima amaran cuaca buruk dengan hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.