Calon muka baharu GPS DUN Lingga ikrar berkhidmat dengan adil

Dayang Noorazah (kiri) berikrar akan berkhidmat dengan adil dan saksama jika diberi mandat pada PRN12 Sarawak pada Sabtu ini.
Dayang Noorazah (kiri) berikrar akan berkhidmat dengan adil dan saksama jika diberi mandat pada PRN12 Sarawak pada Sabtu ini.
A
A
A

LINGGA - Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berikrar akan berkhidmat dengan adil dan saksama kepada semua pengundi jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Sabtu.

Beliau melakukan lafaz ikrar itu di hadapan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Karim dan bekas penyandang DUN Lingga, Datuk Semoi Peri bersama 32 tuai rumah di kawasan itu.

Dayang Noorazah, 33, seorang graduan dalam jurusan akauntan membuat lafaz ikrar itu pada majlis perhimpunan ‘Randau Pertanian’ di Rumah Panjang Mathew J Pupun, Gran Stumbin di sini pada Khamis.

Berdialek dalam bahasa Iban dan Inggeris, Dayang Noorazah berjanji akan berkhidmat dengan adil dan menjalankan tanggungjawab kepada semua penduduk rumah panjang serta kampung di kawasan itu jika dipilih menjadi wakil rakyat mereka.

Tambahnya, beliau juga akan lebih kerap turun padang untuk membantu rakyat.

Sementara itu, Uggah yang juga calon GPS DUN Bukit Saban berkata, beliau dan Rohani akan memantau pergerakan Dayang Noorazah bagi memastikannya menunai ikrar serta janji yang dilafazkan.

"Dayang Noorazah merupakan seorang daripada lapan muka baharu dan calon muda diperkenalkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan antara 24 muka baharu berusia antara 30-an dan 40-an mewakili GPS.

"Sebagai orang muda, ini adalah peluang terbaik bagi Noorazah untuk belajar menjadi seorang pemimpin politik yang baik dan saya harap penduduk di DUN Lingga akan memberikan peluang kepada beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Uggah menambah, pada PRN kali ini, GPS mempunyai matlamat yang jelas untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Menerusi pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, katanya, GPS mempunyai hala tuju yang jelas untuk pembangunan di Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan mandat semula.

“Parti-parti lain yang bertanding... tiada satu daripadanya memiliki rekod cemerlang seperti apa yang Abang Johari laksanakan. GPS lebih menyerlah dari segi pencapaian dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Diharapkan rakyat Sarawak memberikan peluang sekali lagi kepada GPS untuk memajukan negeri ini,” ujarnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my