'Semoga Muafakat Nasional Selangor semakin kukuh'

Noh (dua kiri) ketika menerima kunjungan Ahmad Yunus di pejabatnya pada Rabu.
Noh (dua kiri) ketika menerima kunjungan Ahmad Yunus di pejabatnya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memohon orang ramai mendoakan Muafakat Nasional di Selangor semakin kukuh.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau pada Rabu, status hubungan antara Pas dengan UMNO yang menjadi teka-teki sebelum ini seolah-olah terjawab.

Ia selepas Noh berkongsi gambar Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi telah mengunjungi pejabatnya.

"Kunjungan hormat Pesuruhjaya Pas Selangor di pejabat tengah hari tadi (Rabu). Semoga Muafakat Nasional di Selangor semakin kukuh. Doakan kami," tulis beliau di Facebook miliknya.

Turut kelihatan pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Hubungan Pas dengan UMNO menimbulkan persoalan selepas Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Pada 2 Disember, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional akan ditentukan oleh 191 bahagian parti itu yang mula bersidang pada 18 Disember ini.

Rentetan daripada itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar Piagam Muafakat Nasional menjadi punca Pas menolak untuk bersama gabungan itu.

Artikel Berkaitan: