MAINS bantu pelakon 'mat saleh' Johan Abdullah derita Parkinson

Mahadi (kiri) menyampaikan bantuan wang segera kepada Johan.- Foto MAINS
Mahadi (kiri) menyampaikan bantuan wang segera kepada Johan.- Foto MAINS
A
A
A

SEREMBAN- Keperitan hidup seorang pelakon yang berasal dari Australia, Johan Abdullah, 73, yang berlakon dalam drama dan filem tempatan kini menderita penyakit Parkinson dan angin ahmar separuh badan mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

MAINS melalui hantaran di laman Facebook memaklumkan, pihaknya menziarahi keluarga Johan di Taman Mantau Indah 2, di sini pada Rabu bagi menguruskan bantuan yang diperlukan.

Hantaran tersebut menyebut Johan sering memegang watak sebagai pegawai tentera Inggeris atau individu berketurunan Inggeris dalam drama dan filem tempatan.

"Beliau yang tinggal menyewa bersama isteri, Sarepah Meriam Aboo, 48 dan dua orang anak berusia lima dan 10 tahun di Taman Mantau Indah 2 kini tiada punca pendapatan tetap.

"Selain itu, beliau hanya mengharapkan bantuan anak-anaknya (Johan) hasil perkahwinan pertama dan kutipan sewaan rumah milik isteri yang turut menderita sakit cakera tulang belakang teranjak (slipped disc)," katanya.

MAINS juga menyatakan hasil laporan yang dipanjangkan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MAINS telah turun menziarahi Johan di rumah sewanya jam 1 petang Rabu bagi mendapatkan maklumat dan keperluan terkini beliau bersama isteri.

"MAINS melalui amanah zakat akan membantu Johan dengan bantuan kewangan secara bulanan dan bantuan perubatan selain bantuan wang tunai segera yang telah disampaikan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Agihan, Jabatan Zakat MAINS, Mahadi Ali," katanya.

Hadir sama Penolong Pengarah, Unit Khidmat Kesihatan MAINS, Norhafizah Daud dan Ketua Skuad Gerak Khas (SGK) MAINS, Mohd Zahid Mohammad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Johan ketika ditemui pemberita pada Khamis di kediamannya berkata, dia sudah lama tidak menerima tawaran untuk berlakon.

"Sudah tentu saya rindu dengan bidang lakonan, kerana ia sudah sebati dalam kehidupan saya sejak bermula pada pertengahan 1970-an malah jika ada tawaran lakonan, saya tidak menolak namun bergantung kepada keadaan saya ketika ini kerana sedikit sebanyak membantu perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah lama tidak tampil berlakon sama ada di layar perak mahu televisyen, ramai kenalan artis terutamanya pelakon-pelakon veteran masih menghubunginya dan bertanyakan khabar.

"Alhamdulillah mereka masih menghubungi saya antaranya dari Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia yang datang menjenguk dan menghulurkan bantuan, saya sangat menghargainya,” katanya.