Lelaki maut tertimbus ketika melombong emas

Pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus di kawasan melombong emas di Kampung Air Sejuk, Setiu pada Rabu. Foto Ihsan PDRM
Pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus di kawasan melombong emas di Kampung Air Sejuk, Setiu pada Rabu. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

SETIU - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika melakukan kerja-kerja melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini, pada Rabu.

Mayat mangsa, Mohd Johari Mohd Asri, 34, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira jam 7 malam dan berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai akibat runtuhan tanah ketika mangsa berada di dalam lubang untuk melakukan kerja-kerja melombong emas sekitar jam 5 petang.

Beliau berkata, mangsa bersama bapanya berada di kawasan tersebut sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

"Semasa kejadian cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut.

"Usaha mengeluarkan mangsa terpaksa dilakukan dengan bantuan jentolak kerana keadaan tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Menurut Afandi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat pihak berkenaan sebelum melombong emas.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat diingatkan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya sebelum melakukan kerja mencari emas.

"Waktu sekarang tidak sesuai untuk kerja-kerja melombong emas kerana keadaan cuaca yang sentiasa hujan," katanya.