Bersatu harap GPS beri laluan tanding PRU15

Muhyiddin pada sidang akhbar selepas sesi Town Hall bersama Majlis Pemulihan Negara di Kuching pada Rabu.
Muhyiddin pada sidang akhbar selepas sesi Town Hall bersama Majlis Pemulihan Negara di Kuching pada Rabu.
A
A
A

KUCHING - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berniat untuk bersaing dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut bertujuan melengkapkan parti itu dengan meraih lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen untuk membolehkan kerajaan mentadbir negara.

"Dalam pertemuan saya dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman saya beberapa minggu lalu, kami sudah mempunyai persefahaman bahawa Bersatu akan memberikan sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas sesi Town Hall bersama Majlis Pemulihan Negara di Hotel Pullman di sini pada Rabu.

Sehubungan itu Muhyidin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap ketika PRU15 nanti akan ada persefahaman di mana calon daripada Perikatan Nasional (PN) - Bersatu boleh bertanding di tempat yang diyakini menang.

"Pada PRN12 kita memberikan laluan kepada GPS dengan tidak bertanding dan saya berharap agar perkara ini masih difahami serta dihormati apabila tiba masanya kelak (PRU15).

"Persefahaman ini sekali gus akan membantu mengukuhkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak di samping kita mahu melihat GPS terus kukuh supaya negeri ini boleh bergerak maju ke hadapan," ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, perkara itu juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan kekecewaan ahli Bersatu di Sarawak yang ingin memberikan sokongan kepada calon Bersatu dalam PRN12 yang tidak bertanding.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sekiranya calon Bersatu turut bertanding, sudah pasti parti itu dapat membantu kemenangan GPS, namun atas persefahaman yang telah dicapai Bersatu memutuskan untuk berundur daripada bertanding pada PRN kali ini.

"Pengundi di Krian juga diingatkan supaya tidak mengundi Datuk Ali Biju yang sebelum ini mencalonkan diri sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sebaliknya memberikan sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

"Perkara tersebut sudah berlalu dan beliau (Ali) bertanding disebabkan permintaan pengundi di sana, tetapi beliau telah mendengar nasihat dan menghormati persepakatan yang telah dibuat lalu menarik diri daripada bertanding," ujarnya.