Beri saya lima tahun lagi sebelum bersara: Dr Sim

Kui Hian - Foto Bernama
Kui Hian - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berharap pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah memberikan beliau peluang untuk berkhidmat selama satu penggal lagi di kawasan itu sebelum mengumumkan persaraannya.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan penyandang kerusi itu berkata, selepas lima tahun, beliau akan memberikan laluan kepada orang muda untuk bertanding di kawasan tersebut.

“Pada 18 Disember ini, (saya minta pengundi) tolong keluar turun awal mengundi supaya kita ada lima tahun lagi sebelum saya bersara. Selepas itu, kasi orang muda,” katanya ketika berucap di program kesedaran keselamatan dan kebersihan sungai Kampung Rantau Panjang di sini pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, beliau akan dicabar oleh empat calon lain iaitu Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP).

Dr Sim turut membidas kenyataan ‘seorang doktor’ yang mendakwa beliau gagal mengawal penularan pandemik Covid-19 di Sarawak.

Bekas Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri itu berkata, data berkaitan Covid-19 bagi Sarawak menunjukkan keadaan pandemik di Bumi Kenyalang semakin baik.

“Ada satu doktor cakap Dr Sim tangani Covid-19 tidak bagus. Saya jawab jika tidak bagus, mengapa jumlah kes kita rendah, mengapa jumlah orang mati juga antara terendah di seluruh Malaysia?

“Bukan semua doktor sama,” katanya dipercayai merujuk kepada Dr Kelvin yang dilaporkan mendakwa beliau gagal mengawal kadar penularan dan kematian akibat Covid-19 ketika memegang jawatan sebagai penasihat JPBN. - Bernama

Artikel Berkaitan: