62 maut terbakar hidup-hidup, lori tangki minyak meletup

Sekurang-kurangnya 62 orang meninggal dunia selepas sebuah lori tangki minyak terbalik dan meletup di Cap Haitien pada Selasa. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 62 orang meninggal dunia selepas sebuah lori tangki minyak terbalik dan meletup di Cap Haitien pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

CAP HAITIEN - Letupan sebuah lori tangki minyak yang terbalik menyebabkan sekurang-kurangnya 62 orang terkorban di Haiti pada Selasa.

Mangsa-mangsa itu terbakar hidup-hidup selepas mereka mengerumuni kenderaan itu untuk mengambil minyak yang tumpah di jalan raya.

Lori itu dipercayai terbalik setelah pemandu kenderaan itu hilang kawalan ketika ia mengelak sebuah teksi motosikal di bandar Cap Haitien.

Selepas kejadian itu, orang ramai berkumpul di lokasi yang mana sejumlah mangsa yang meninggal dunia diletakkan di dalam beg-beg mayat.

Timbalan Datuk Bandar, Patrick Almonor mengesahkan angka kematian tersebut dengan menyatakan pihak berkuasa masih mencari mangsa-mangsa di bangunan berdekatan tempat kejadian di bandar tersebut yang terletak di pantai utara negara itu.

Almonor menggambarkan situasi yang mengerikan ketika letupan itu berlaku dengan menyatakan bahawa beliau telah melihat sejumlah orang terbakar hidup-hidup dan memberitahu adalah mustahil untuk mengenal pasti identiti diri mereka.

Beliau juga berkata, kira-kira 40 buah rumah di lokasi kejadian juga rosak tetapi menjelaskan masih tidak diketahui jumlah mangsa yang berada di dalam rumah semasa letupan berlaku.

Mangsa-mangsa yang cedera pula dirawat di Hospital Universiti Justinien di bandar kedua terbesar negara itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang doktor di hospital berkenaan memberitahu sebuah stesen radio tempatan, Magik9 bahawa dua orang telah terkorban manakala 40 mangsa lain cedera parah. - Agensi