Boling ikut jejak langkah badminton

Maradona Chok
Maradona Chok
A
A
A

KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) bakal mengikut jejak langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak menurunkan pemain elit pada temasya Sukan SEA Vietnam yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei tahun depan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, keputusan tersebut diambil untuk memberi peluang kepada barisan pemain kedua skuad kebangsaan untuk menimba pengalaman beraksi pada kejohanan-kejohanan besar.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya akan diputuskan berdasarkan sasaran pingat yang akan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk skuad boling negara pada temasya dwi tahunan itu.

“Perancangan awal kita tidak akan turunkan pasukan elit sebaliknya akan menggunakan pemain dari pasukan kedua yang terdiri daripada mereka yang berumur 25 tahun dan ke bawah.

“Sebab kita lihat Sukan Sea ini adalah medan terbaik buat mereka yang berada di pasukan kedua untuk menimba banyak pengalaman kerana ia merupakan kejohanan besar.

“Tapi apa-apa pun kita akan tunggu sasaran pingat yang ditetapkan MOM, kalau mereka mahu emas kemungkinan besar kita akan turunkan pemain-pemain elit untuk Sukan SEA,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2019 di Filipina, skuad boling negara menutup tirai kempen di kedudukan ketiga keseluruhan dengan pungutan dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai persiapan pasukan boling negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA, Maradona berkata, pihaknya masih belum ada perancangan lagi memandangkan kalendar kejohanan boling antarabangsa masih belum dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pemain-pemain kini kini sedang berlatih seperti biasa dan akan menyertai beberapa kejohanan tempatan yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Ketika ini kami masih belum ada perancangan untuk bawa pemain menyertai kejohanan di luar negara kerana kalendar boling antarabangsa masih belum dikeluarkan lagi.

“Sekarang mereka sedang berlatih seperti biasa dan mungkin akan menyertai beberapa kejohanan tempatan bagi persiapan pemain untuk Sukan SEA,” katanya.