PJS kecewa POS tidak ikut nasihat

Ibrahim Mohd Yusof
Ibrahim Mohd Yusof
A
A
A

PESURUHJAYA Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof meluahkan kekecewaannya terhadap Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang tetap mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Ahad tanpa mengendahkan nasihatnya.

Ibrahim berkata, tindakan POS tidak mematuhi persetujuan yang dicapai ketika pertemuannya dengan badan sukan negeri itu pada 8 Disember lalu bakal menyebabkan POS berdepan tindakan lebih tegas termasuk risiko diberikan notis, diikuti penggantungan sekiranya kemelut itu berpanjangan.

Namun, beliau menegaskan kesahihan AGM itu dan apa-apa tindakan susulan bakal diambil terhadap POS hanya dapat ditentukan selepas meneliti laporan yang perlu dihantar ke PJS dalam masa terdekat.

Ibrahim berkata, beliau memberikan tiga opsyen kepada POS ketika pertemuan sebelum ini, dengan pilihan pertama iaitu untuk membetulkan dahulu struktur atau keanggotaan POS sebelum mengadakan AGM telah dipersetujui.

“Opsyen kedua, saya boleh keluarkan notis melaksanakan pembetulan, sekiranya gagal, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 20 Akta Pembangunan Sukan 1997, menggantung POS dan ketiga kita boleh putuskan terus gantung POS.

“Memandangkan mereka tidak mahu dengar nasihat, kita boleh pertimbangkan pilihan kedua dengan mengeluarkan notis melakukan remedi atau pilihan lain, tetapi perlu meneliti laporan terlebih dahulu. Peluang kita sudah bagi, tapi mereka seperti tidak mahu mendengar dan meneruskan AGM,” katanya.

Sebelum ini, beberapa ahli jawatankuasa POS mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24 Oktober lalu mengumumkan presidennya, Datuk S M Muthu dipecat serta menarik balik keahlian seumur hidupnya dengan mendakwa beliau melakukan penyelewengan.

PJS bagaimanapun berkata, pemecatan itu tidak dibuat mengikut saluran betul kerana berdasarkan perlembagaan POS, tindakan menggantung atau memecat ahli yang memegang jawatan dalam persatuan itu tidak boleh dilakukan menerusi EGM.

Artikel Berkaitan:

AGM POS pada Ahad menyaksikan bekas atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim menang tanpa bertanding jawatan Presiden POS. - Bernama.