Pembida aset lelong Sajat RM132,000 hilangkan diri

Peguam, Zeti Zulkifli (kiri) pada sidang akhbar selepas proses lelongan aset Muhammad Sajjad.
Peguam, Zeti Zulkifli (kiri) pada sidang akhbar selepas proses lelongan aset Muhammad Sajjad.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang berjaya dalam proses lelongan barang kediaman usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat disyaki menghilangkan diri ketika dia sepatutnya membayar wang tunai RM132,000, sebaik lelongan berakhir.

Peguam Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, sehingga jam 4 petang, lelaki dikenali sebagai Mohd Syazwan itu tidak kembali selepas dia dikatakan keluar dari kediaman Sajat di Jalan Polo 10/3 Kota Damansara, di sini untuk mengambil wang tunai bagi menjelaskan bayaran lelongan berkenaan.

"Bailif mahkamah meminta lelaki itu membuat draf bank dan kemudian dia bertolak ke bank bagi tujuan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Zeti berkata, bailif memberi masa sehingga jam 3.30 petang namun pada waktu yang ditetapkan, lelaki itu tidak kembali sepertimana yang dijanjikan.

"Kita akan memohon kepada mahkamah minggu depan bagi mendapatkan tarikh baru proses lelongan barang di kediaman Sajat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal bayar pampasan, aset Sajat mula dilelong Selasa: Peguam

Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki berjaya membida kesemua 39 barang milik Nur Sajat.

Proses lelongan ini dibuat bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources Sdn Bhd selaku bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle millik Sajat.

Proses bidaan bermula pada jam 10.30 pagi itu dibuat sebanyak enam kali membabitkan lapan pembida sebelum ia berkurang kepada tiga.

Artikel Berkaitan:

Pembida perlu menyediakan wang tunai RM5,000 sebelum dibenarkan masuk ke kawasan rumah banglo dua tingkat itu.

Untuk rekod kesemua 39 barangan yang dilelong perlu dibida secara pukal bermula dengan harga RM75,000.

Antara barangan yang dilelong adalah set pinggan mangkuk, set bilik tidur, piano, almari antik, sofa, jam berdiri, kipas angin, peti sejuk, televisyen, lukisan, pasu bunga pelbagai saiz dan chandelier.