'Keluarlah mengundi, usah hirau berita palsu Covid-19'

Kui Hian - Foto Bernama
Kui Hian - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pengundi di Sarawak digesa keluar Sabtu ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dan tidak menghiraukan berita palsu mengenai situasi Covid-19 di negeri itu.

“Pada 18 Disember ini, keluarlah mengundi dengan yakin, usah hirau berita palsu yang disebarkan oleh mereka yang bukan pakar kesihatan,” kata penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pada Selasa.

Beliau berkata, negeri itu sudah mula memberikan suntikan dos penggalak kepada orang ramai sejak Oktober dan berdasarkan pemodelan pakar tempatan, kes harian Covid-19 di Sarawak akan berada di bawah angka 50.

Katanya, kadar kematian juga akan berkurangan.

“Bagaimanapun, anda dan saya perlu memainkan peranan dengan memakai pelitup muka. Sila laksanakan kewajipan anda setiap lima tahun sebagai rakyat di Sarawak,” katanya semasa membuat penampilan maya pada majlis pelancaran Pelan untuk Padungan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri itu sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sarawak mencatat 47 kes baharu Covid-19 pada Isnin yang merupakan kes bergejala ringan kecuali satu kes membabitkan pneumonia.

Dr Sim ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), satu daripada empat parti komponen GPS. Beliau akan berdepan persaingan empat penjuru bagi mempertahan kerusi DUN Batu Kawah dan ditentang oleh Dr Kelvin Yii Lee Wuen daripada DAP, Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi). - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: