Golongan OKU raih pelbagai manfaat

No Image Caption
A
A
A

Terima bantuan daripada kerajaan hasil daripada peruntukan Bajet 2022

SHAH ALAM – Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion dalam Bajet 2022, sekali gus menjadi nilai peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan yang tidak pernah melupakan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), memperuntukkan RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya lebih mesra OKU.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu berkata, peruntukan tersebut antara lain bagi menyediakan lebih banyak laluan khas untuk kegunaan golongan cacat penglihatan.

Selain peruntukan infrastruktur OKU, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan bermotor (LKM) bagi semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU mulai tahun hadapan.

“Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU,” katanya.

No Image Caption

Menurut Tengku Zafrul, manfaat lain untuk golongan OKU dalam Bajet 2022 ialah RM10 juta untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.

Artikel Berkaitan:

Dalam memastikan anak muda OKU mempunyai tempat untuk menceburi bidang pekerjaan, kerajaan juga akan menyediakan kuota khas satu peratus dalam program MyStep kepada golongan OKU.

Penyediaan kuota khas OKU bagi program tersebut secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah OKU.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut menyambut baik inisiatif berkenaan kerana ia bukan sahaja dapat memberikan pekerjaan kepada golongaan OKU, malah memastikan kelangsungan hidup belia OKU.“Penerusan program PENJANAKERJAYA, yang telah memberi impak positif kepada JaminKerja, merupakan satu tindakan yang baik oleh kerajaan.

“Ini akan membolehkan ramai OKU mendapat pekerjaan berkualiti mengikut kelulusan serta dapat memastikan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan.

No Image Caption

Beliau yang juga Presiden OKU Sentral turut menyambut baik jaminan yang ditawarkan kerajaan supaya semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

“Usaha ini selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang dapat meningkatkan tahap aksesibiliti golongan OKU kepada maklumat dan komunikasi,” ujar Ras Adiba.

Dalam pembentangan Bajet 2022 itu juga, Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan bercadang memperluasProgram Pemulihan Dalam Komuniti, yang menjadi antara medium intervensi awal untuk anak-anak OKU meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan.

“Setakat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) adalah universiti pertama melaksanakan program ini. Tahun depan, kerajaan bercadang meluas pelaksanaannya ke universiti awam lain,” katanya.

Sehubungan itu, Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ sememangnya bersifat inklusif, mampan dan seimbang tanpa meminggirkan mana-mana individu, malah memberikan fokus yang amat ketara dalam soal pembangunan sosioekonomi golongan rentan.

Menampung keperluan asas

Nik Mariam
Nik Mariam

Bagi OKU cacat penglihatan, Nik Mariam Nik Him, 54, dia ketika ini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 selain bantuan anak sulungnya yang juga merupakan seorang OKU (cacat tangan).

Menurutnya, bantuan diterima itu sedikit sebanyak membantu menampung pembiayaan keperluan asas harian dan juga persekolahan anak-anak.

“Selain bantuan tersebut, saya juga menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebanyak RM1,000 bagi kategori isi rumah,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Nik Mariam merupakan seorang suri rumah sepenuh masa berikutan dia baru sahaja menjalani pembedahan pada kaki sebelah kiri akibat menghidap penyakit kencing manis pada awal Jun yang lalu.

Justeru, dia berharap bantuan yang diterima daripada Bajet 2022, dapat mengurangkan lagi bebannya dan sekeluarga, memandangkan suaminya kini mengalami strok dan tidak boleh bekerja.

“Tambahan pula, saya mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah,” ujarnya.

Roslan
Roslan

Sementara itu, seorang OKU fizikal, Roslan Ismail, 49, yang berasal dari Tumpat, Kelantan, pula berkata, dia menggunakan bantuan kewangan sebanyak RM450 setiap bulan daripada JKM selain bantuan BPR dan BKC bagi kategori bujang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Melalui bantuan itu juga, Roslan berkata, dia dapat meneruskan penjualan secara kecil-kecilan di rumah seperti membuat khidmat fotostat dan penjualan ‘top up’.

“Ini berikutan keadaan saya yang tidak sempurna kerana mengalami masalah lumpuh pada bahagian kaki,” katanya.

Muhammad Ghazali
Muhammad Ghazali

Seorang lagi OKU Fizikal, Muhammad Ghazali Othman, 25, berkata, dia ketika ini sedang membuat kerja sambilan sebagai urusetia program di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM), berikutan dia baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah institut pengajian tinggi (IPT).

Mengenai manfaat yang bakal diperoleh golongan OKU sepertinya, Muhammad Ghazali berkata, dia menyambut baik inisiatif kerajaan dalam menyediakan kuota khas satu peratus dalam program MyStep.

“Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan OKU,” katanya yang berasal dari Selangor.

Muhammad Khairun
Muhammad Khairun

Bagi OKU pendengaran, Muhammad Khairun Cuganathan, 49, pula berkata, dia mengambil keputusan untuk membuat perkhidmatan e-hailing sebagai sumber pendapatan tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup lebih terjamin.

Muhammad Khairun yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, beliau turut menerima BPR sebanyak RM1,200, RM1,300 BKC bagi kategori isi rumah, selain bantuan kewangan khas OKU.

“Justeru, bantuan seperti ini secara tidak langsung memperlihatkan kerajaan sangat prihatin terhadap golongan OKU, malah tidak sama sekali dipinggirkan,” katanya.