'Kami terlalu hormat kepada Vietnam'

Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Ahad.
Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Ahad.
A
A
A

“KAMI terlalu hormat kepada Vietnam!”

Itulah penilaian Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berikutan kekalahan 0-3 skuad negara kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Ahad.

Malah Cheng Hoe mengakui Harimau Malaya tewas kepada Naga Emas yang lebih baik dan menggambarkan aksi menentang juara bertahan itu sebagai satu pertempuran yang amat sukar walaupun anak-anak buahnya telah mencuba yang terbaik untuk mencabar Vietnam di dalam gelanggang.

“Saya rasa kami kalah disebabkan kesilapan taktik tetapi saya nampak kami bermain dengan terlalu berhati-hati dan bertahan sahaja dalam babak pertama.

“Pasukan saya tidak dapat menguasai dan mengawal bola sebagaimana biasa dilakukan dalam perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jelas pengendali berusia 53 tahun itu, para pemainnya perlu belajar daripada skuad kendalian Park Hang-seo itu dan untuk melangkah ke hadapan dengan mempersiapkan diri untuk pertarungan penting dengan musuh ketat, Indonesia, Ahad depan untuk menentukan kelayakan ke separuh akhir.

Cheng Hoe juga berharap pemain akan menggunakan waktu seminggu untuk berehat dan menjalani proses pemulihan menjelang aksi terakhir Kumpulan B minggu depan.

Beliau percaya keputusan akan menjadi sebaliknya seandainya beliau mempunyai skuad yang lengkap kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Covid-19 dan kecederaan beberapa pemain kami telah menjejaskan semangat pasukan tetapi saya tetap memuji kerja keras mereka selama ini yang membuahkan hasil,” katanya.

Pada masa sama, Cheng Hoe tidak mahu menyalahkan Luqman Hakim Shamsudin kerana terlepas satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33, sebaliknya berharap kesilapan itu tidak akan mematahkan semangat pemain KV Kortrijk pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengendali Vietnam, Park Hang-seo merasa gembira melihat pasukannya memperolehi tiga mata dan memuji anak buahnya kerana mempamerkan aksi yang hebat untuk memenangi aksi kedua dalam Kumpulan B.

“Ia selalunya sukar untuk bermain menentang Malaysia tetapi akhirnya saya merasa gembira untuk mendapat kemenangan hari ini,” katanya.

Malaysia dihukum kerana gagal menyesuaikan diri dengan permainan intensiti tinggi apabila Vietnam membolosi gawang pasukan negara dua kali dalam jarak empat minit pada babak pertama sebelum memperoleh gol ketiga dalam minit-minit terakhir sebelum wisel penamat ditiup.

Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke-32 diikuti Nguyen Cong Phuong (36') dan Nguyen Hoang Doc (89').

Keputusan itu memadamkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Malaya di dalam Kumpulan B yang sebelum ini menewaskan Kemboja dan Laos dalam dua perlawanan pertama.

Ini juga kekalahan keenam Malaysia dalam tujuh perlawanan dengan Vietnam sebelum ini dan kelima di bawah kendalian Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2017.