Wanita rugi RM419,050 ditipu Macau Scam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita kerugian RM419,050 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Superintendan Amran Md Jusin berkata, mangsa berusia 45 tahun menerima panggilan daripada lelaki berkenaan pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, lelaki itu menyatakan mangsa disenarai hitam kerana mempunyai tunggakan bil telefon.

"Selepas itu, mangsa dihubungi pula seorang wanita yang mengenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Wanita itu kemudian mengarahkan mangsa membuat laporan polis secara dalam talian sebelum memaklumkan mangsa turut terlibat dalam pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Amran Md Jusin berkata, wanita itu juga mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atas alasan untuk siasatan dan wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

"Mangsa kemudiannya membuat 58 transaksi pindahan wang berjumlah RM419,050 ke lapan akaun pelbagai bank antara tarikh 2 hingga 9 Disember lalu.

"Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi wanita terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini pada Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.