Calon GPS di DUN Piasau nafi tidak turun padang

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Piasau hari ini. - Foto Bernama
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Piasau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MIRI - Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting menyangkal dakwaan calon DAP, Peter Hee Leh Keng yang beliau tidak turun padang menjaga kawasan itu khususnya Kampung Pasir.

Penyandang kerusi Piasau itu, yang juga Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, beliau dan pasukannya sudah melawat Kampung Pasir sebanyak 40 kali untuk menyampaikan bantuan termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

“Mereka yang kenal saya akan tahu bahawa saya selalu berada di sana (Kampung Pasir) di lapangan dengan penduduk, bukan hanya menjelang pilihan raya,” kata calon berusia 66 tahun itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran satu video di media sosial oleh calon DAP yang mendakwa Sebastian tidak pernah melawat Kampung Pasir dan mengabaikan kebajikan penduduk di kawasan itu.

Katanya pada 2018, sejumlah RM212,000 telah dibelanjakan untuk menaik taraf laluan pejalan kaki berpapan di kampung itu selain memperuntuk RM265,000 bagi menaik taraf Jalan Datuk Gridbid yang merupakan jalan utama ke kampung berkenaan.

Sebastian juga berkata, pada 2019, sebanyak RM60,000 diperuntuk bagi menaik taraf Dewan Komuniti Kampung Pasir manakala RM150,000 diperuntuk tahun ini bagi menaik taraf dewan sama di bawah fasa kedua, menjadikan sejumlah RM687,000 telah dibelanjakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Selain calon DAP, beliau akan berdepan Teo Jia Jun daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Hanim Jaraee daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Chung Siew Yen daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

DUN Piasau mempunyai sejumlah 21,337 pemilih berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN 11,Sebastian berjaya mengalahkan calon DAP iaitu Alan Ling Sie Kiong dengan majoriti undi 2,112. - Bernama