BNM tidak laksana ketekunan wajar

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melaksanakan penilaian wajar (due diligence) yang secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41 untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.

Beliau turut membangkitkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat oleh BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion).

Menurutnya, hasil jualan tersebut telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017.

“Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli Tanah Lot 41 dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan (15 Ogos 2017) dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (21 Ogos 2017).

“Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua ini membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, BNM juga tidak pernah merancang untuk membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan.

Menurutnya, ini kerana perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017.

“Walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka masa panjang,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kah Woh menegaskan bahawa harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan oleh Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

"Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berdasarkan status hak milik sedia ada, iaitu kategori kegunaan tanah 'Tiada', syarat nyata "Tiada" dan pengezonan institusi dengan nisbah plot 1:2, adalah sebanyak RM1.421 bilion.

"Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status kategori kegunaan tanah daripada 'Tiada' kepada 'Bangunan' dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu," katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, katanya, PAC mengutarakan dua syor kepada kerajaan untuk dilaksanakan, iaitu pentingnya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan dan pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“BNM hendaklah dengan segera menyelesaikan isu penukaran kategori kegunaan tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41. Perancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan Tanah Lot 41 perlu dimuktamadkan," katanya.