Bekas pegawai bank didakwa terima wang hasil aktiviti haram

Ganesan dibawa ke mahkamah pada Isnin.
Ganesan dibawa ke mahkamah pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 14 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai berjumlah RM3.41 juta.

Tertuduh, R Ganesan, 35, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Ganesan yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penasihat kewangan didakwa menerima wang tunai keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu daripada aktiviti haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai, dekat sini antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

Ketika prosiding, Muhammad Syeqal memohon supaya jaminan tidak diberikan terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM140,000 dengan seorang penjamin selepas peguam tertuduh memohon mahkamah memberi jaminan terhadap anak guamnya.

Mahkamah turut menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.