PDRM peroleh notis merah Interpol untuk Jho Low, Nicky Liow

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperoleh notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Low Taek Jho atau Jho Low daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, terdapat dua kategori notis merah yang dikeluarkan Interpol, iaitu kategori yang boleh dipaparkan, makluman awam dan satu kategori lagi dihadkan untuk diakses kepada agensi penguat kuasa sahaja.

"Ibu pejabat Interpol merupakan pihak yang akan menentukan sama ada notis dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguat kuasa sahaja," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Acryl Sani berkata, notis merah Jho Low dikeluarkan pada 11 Jun 2018 manakala notis bagi Nicky Liow pada 20 April tahun ini.

"Kedua-dua notis merah yang dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguat kuasa sahaja, katanya.

Acryl Sani memaklumkan PDRM kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Pada November lalu Kementerian Dalam Negeri dilaporkan mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

Jho Low menjadi buruan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad manakala pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow berhubung sindiket Macau Scam.

Artikel Berkaitan: