UEFA tidak jadualkan semula aksi Tottenham-Rennes

No Image Caption
A
A
A

PERLAWANAN kumpulan Liga Konferens Europa, Tottenham Hotspur menentang Rennes tidak akan dimainkan selepas dibatalkan minggu ini setelah penularan Covid-19 dalam kalangan pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, kata Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

UEFA berkata, ia telah cuba mencari penyelesaian terbaik untuk menjadualkan semula perlawanan Khamis di London dalam memastikan peringkat kumpulan dapat diselesaikan.

"Malangnya di sebalik semua usaha, penyelesaian yang boleh berkesan untuk kedua-dua kelab tidak dapat ditemui.

"Akibatnya, perlawanan itu tidak boleh dimainkan lagi dan oleh itu perkara itu akan dirujuk kepada Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA untuk keputusan diambil mengikut Lampiran J... peraturan pertandingan," kata UEFA.

Pada malam sebelum perlawanan itu, Spurs berkata, ia telah dibatalkan selepas pengurus Antonio Conte mengesahkan 13 kes positif di kelab itu, lapan membabitkan pemain dan selebihnya dalam kalangan kakitangan.

Rennes kemudiannya mengkritik keputusan itu berkata, ia diambil secara unilateral oleh Tottenham dan mereka berhak untuk merayu kepada UEFA.

Untuk rekod, Spurs bersaing dengan Vitesse untuk menduduki tempat kedua dalam Kumpulan G bagi mengesahkan tempat dalam pusingan playoff ke pusingan 16 terakhir.

Rennes pula telah mara ke peringkat 16 terakhir sebagai pemenang Kumpulan G dengan 11 mata selepas lima perlawanan.

Artikel Berkaitan: