Silap sendiri hantar 24 pemain

Pemain negara menjalani latihan sejurus tiba di Singapura. - Foto FAM
Pemain negara menjalani latihan sejurus tiba di Singapura. - Foto FAM
A
A
A

ISU kekurangan pemain bagi skuad Harimau Malaya ketika ini dilihat sebagai kesilapan sendiri apabila hanya menyenaraikan hanya seramai 24 pemain ke saingan Piala Suzuki AFF 2020 berbanding 30 pemain yang dibenarkan untuk setiap pasukan oleh pihak Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Perkara itu ditegaskan ketua jurulatih Vietnam, Park Hang -Seo yang menyifatkan permohonan daripada skuad Harimau Malaya bagi membawa masuk pemain baharu (pemain pengganti) berikutan empat pemainnya yang disahkan positif Covid-19 ketika ini.

Malah katanya, pihak AFF dilihat tidak berlaku adil sekiranya badan induk bola sepak Asean itu membenarkan permohonan untuk penggantian pemain berkenaan.

"Saya rasa tidak patut dan tidak masuk akal untuk bawa masuk pemain baharu (pengganti) kerana kami juga tidak melakukan perkara itu, dan sebelum ini, seorang pemain kami juga telah dihantar pulang setelah sehari berada di sini (Singapura) kerana kerajaan tidak membenarkannya.

"Bagi saya kesemua pasukan pasti mengetahui peraturan pertandingan dan ia (peraturan) mestilah dipatuhi. Setiap pasukan dibenarkan membawa 30 pemain, tetapi kenapa hanya bawa 24 pemain sahaja?”

“Oleh itu bagi saya AFF perlu bersikap adil dalam hal ini dan tidak membenarkan pemain baharu untuk kesemua pasukan,” katanya pada sidang media dalam talian pada Sabtu.

Untuk rekod, skuad negara dikatakan telah pun mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pemain pengganti bagi mengisi kekosongan akibat empat pemain Harimau Malaya disahkan positif Covid-19, ketika ini.

Untuk rekod, skuad negara kini hanya memiliki 19 pemain setelah Khairulazhan Khalid, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Quentin Cheng disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin di Singapura ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pemain, Dion Cools pula diberitakan hanya menyertai pasukan mulai minggu hadapan setelah tugasnya bersama skuad Liga Denmark, FC Midtjylland selesai berikutan sainganliga berhenti rehat hingga Februari depan.

Mengulas mengenai aksi berdepan Harimau Malaya, Hang-Seo berkata, skuad negara kini merupakan pasukan yang berbeza berbanding dengan pasukan yang ditemui pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu.

Katanya, skuad negara kini sudah banyak mengalami perubahan dan ia membuatkan Vietnam perlu menggandakan usaha pada perlawanan berkenaan.

“Pasukan Malaysia hari ini adalah pasukan yang lain dan tidak sama seperti kami jumpa pada Jun lalu.

“Sudah banyak perubahan yang berlaku ke atas pasukan ini dan kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam esok (Ahad),” katanya.