206 graduan dirai dalam Majlis Konvokesyen SWCorp

A
A
A

Ismail (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada graduan pada majlis berkenaan.
Ismail (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada graduan pada majlis berkenaan.

SWCorp peneraju tenaga kerja mahir pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia

PUTRAJAYA - Seramai 206 graduan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan yang tamat menjalani Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 dirai dalam Majlis Konvokesyen SWCorp.

Istiadat yang pertama kali diadakan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib pada Khamis.

Daripada jumlah itu, 118 graduan merupakan perantis Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan selebihnya, 88 graduan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Seramai 17 perantis dalam kalangan pekerja sedia ada dari tiga syarikat konsesi perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan dianugerahkan Graduan Terbaik.

Ismail dalam ucapan pembukaan majlis itu berkata, KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tidak ketinggalan mengambil inisiatif untuk menyahut aspirasi kerajaan dalam memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) sebagai kunci kepada kemajuan negara pada masa akan datang selaras dengan Fokus Kedua, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK-12).

Artikel Berkaitan:

“TVET hari ini dilihat akan menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi,” katanya.

Menurutnya, ini secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia khususnya golongan belia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat sering memandang sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai satu pekerjaan yang mempunyai ciri 3D iaitu dangerous (bahaya), dirty (kotor) dan difficult (sukar).

“Oleh itu, hasrat SWCorp untuk melaksanakan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dalam bidang kemahiran berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini seharusnya disambut baik oleh semua pihak,” katanya.

Ujar Ismail, ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan pekerja dalam perkhidmatan tersebut dapat melaksanakan perkhidmatan pembersihan berdasarkan standard dan prosedur yang ditetapkan sahaja, malah diharap dapat menarik lebih ramai warga tempatan untuk menyertai sektor perkhidmatan ini.

“Saya yakin dengan sokongan dari pihak JPK, kerjasama dan komitmen yang tinggi dari semua pemain industri dalam sektor ini, bidang pekerjaan yang dahulunya dipandang rendah dan tidak menjadi pilihan golongan belia pada hari ini akan berubah kepada satu tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Perkhidmatan lebih kualiti

Menurutnya, dengan adanya pekerja-pekerja kompeten dan diiktiraf melalui platform yang telah disediakan, sudah pasti perkhidmatan lebih berkualiti, berintegriti dan memenuhi ekspektasi rakyat dapat diberikan.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan pengurusan sisa pepejal yang mampan ke arah persekitaran negara Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera.

“Saya harap dengan berlangsungnya sesi konvokesyen pada hari ini, ia akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang akan memberikan impak kepada industri pengurusan sisa pepejal dan pembersihan melalui pengeluaran tenaga kerja mahir ke arah meningkatkan taraf pekerjaan di dalam bidang ini sebagai satu pekerjaan professional setanding dengan profesion-profesion yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Ismail berkata, pihaknya merancang untuk mewajibkan semua pekerja industri berkenaan mempunyai sijil kemahiran yang berkaitan.

“Buat masa ini kita tak wajibkan, tetapi jika ada (sijil), ia menjadi satu pengiktirafan dalam perkhidmatan selain berpeluang dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

SWCorp mensasarkan 10,000 orang akan memiliki SKM menjelang tahun 2030 selari dengan kluster kelima Dasar Kebersihan Negara iaitu menambahbaik produktiviti dan kualiti pekerja melalui latihan berterusan ke arah pekerja berkemahiran tinggi.

Latihan kemahiran untuk mendapatkan SKM dalam sektor ini dikendalikan oleh Solid Waste Training Centre (SWTC), iaitu Pusat Latihan di bawah kendalian Industry Lead Body (ILB) SWCorp yang telah dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia pada 31 Januari 2019 bagi melaksanakan fungsifungsi mengikut keperluan JPK dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sejak penubuhan SWTC, pusat latihan itu berjaya melatih seramai 349 orang perantis dalam kalangan pekerja syarikat konsesi dan swasta yang terdiri daripada Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan E-Idaman Sdn Bhd serta World Wide Sdn Bhd.

Sehingga kini, tujuh program latihan kemahiran merangkumi tiga modul utama iaitu pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan perawatan serta pelupusan sisa pepejal ditawarkan SWTC.

Pada majlis itu juga, pelancaran lagu Keringat Teringat-ingat telah diperdengarkan untuk menghargai dan menyanjung tinggi pekerja-pekerja dalam sektor ini.

REAKSI

AZHAR MOHD YUSUF
AZHAR MOHD YUSUF

"Syukur Alhamdulillah, gembira tidak terkata dapat belajar secara percuma selama enam bulan. Insya-ALLAH selepas ini akan terus berkhidmat dengan baik,"

RAHMAT RAMLI
RAHMAT RAMLI

‘Sudah tujuh tahun saya bekerja sebagai pra am iaitu mengutip sisa makan, kebun dan sebagainya. Walaupun dianggap sebagai pekerjaan biasa, tanpa kami, kita mungkin akan hidup dalam sampah,"