Larian Virtual pupuk semangat benci rasuah

Larian Virtual yang dianjurkan Gema dengan kerjasama Rasuah Busters.
Larian Virtual yang dianjurkan Gema dengan kerjasama Rasuah Busters.
A
A
A

PERTUBUHAN Pemuda Gema Malaysia (Gema) dengan kerjasama Rasuah Busters baru-baru ini menganjurkan Larian Virtual sempena Karnival Sukan Nasional Pemuda Gema yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Naib Presiden II Gema, Mohammad Amar Masuri berkata, larian yang bertemakan 'Malaysia Tanpa Rasuah’ itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahayanya jenayah rasuah kepada masyarakat.

Menurutnya, acara larian yang bermula pada 1 Disember lalu berjaya menarik 42 peserta dan pihaknya berharap angka tersebut akan bertambah sekaligus berjaya untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kalau kita lihat sukan larian ini kebiasaannya akan disertai oleh anak muda. Jadi kami selaku NGO anak muda dan belia gunakan platform larian ini untuk sebarkan kesedaran rasuah supaya takkan terlibat dengan budaya itu.

“Kami nak kalau boleh anak muda lihat gejala rasuah ini umpama perkara negatif dan bukannya satu perkara biasa dan berharap budaya itu akan kekal bukan dalam pertandingan malah juga di luar pertandingan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Penyertaan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dengan yuran serendah RM20 bagi setiap peserta di mana mereka akan dapat medal dan e-sijil dan e-bip.

Bagi pemenang tempat pertama acara larian tersebut, peserta akan membawa pulang Xiaomi Mi watch Lite manakala untuk tempat kedua akan memenangi Xiaomi Band 6 dan tempat ketiga peserta Amazfit neo.

Pemenang akan dikira dengan jumlah larian terbanyak yang berjaya dikumpul individu sepanjang acara berlangsung iaitu dari 1 Disember sehingga 23 Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

Selain itu peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah dengan memuatnaik gambar di laman sosial Instagram dan Facebook ketika melakukan aktiviti larian atau berjalan dengan menggunakan tandapagar #KSN21virtualrun dan #Malaysia Bebas rasuah dan di tag ke akaun @KSNGEMA.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai acara ini boleh ke Facebook Karnival Sukan Nasional Gema Malaysia atau boleh melayari laman sesawang campsite.bio/virtualgema.