160 pembeli rumah terbengkalai terima geran hak milik tahun hadapan

Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah kepada salah seorang pembeli pada Majlis Pengundian Lot Tapak Perpaduan Heights di Dewan Dato Bahaman, Kuala Pilah pada Jumaat.
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah kepada salah seorang pembeli pada Majlis Pengundian Lot Tapak Perpaduan Heights di Dewan Dato Bahaman, Kuala Pilah pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH- Seramai 160 daripada 206 pembeli projek perumahan terbengkalai yang berlarutan lebih 15 tahun lepas di Taman Perpaduan Heights, di sini bakal menerima geran hak milik tanah tahun hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri pada 18 September 2019 telah bersetuju memberikan tanah gantian seluas 13.29 hektar di Kampung Terusan, Mukim Juasseh, Kuala Pilah kepada kesemua pembeli tersebut sebagai jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

"Selain itu, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM5.5 juta di tanah gantian berkenaan.

"Dengan semangat yang cekal dan penuh kesabaran serta sokongan kepada kerajaan negeri, pada hari ini, 160 pemilik terlibat akan membuat cabutan undi lot tanah dan akan menerima geran hak milik yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengundian Lot Tapak Perpaduan Heights di Dewan Dato Bahaman, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi baki lot yang lain, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah akan memproses permohonan mengikut kelayakan, merit dan pembuktian dokumen oleh pemohon.

"Kerajaan negeri juga bersetuju mengenakan premium yang nominal bagi tujuan pembangunan ini.

"Di atas tanah itu nanti, pemilik boleh membangunkan rumah mengikut keperluan masing-masing atau berurusan terus dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kejayaan menyelesaikan isu ini adalah berkat hasil usaha kerajaan Negeri Sembilan yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat yang teraniaya dan mengalami kesusahan berpuluh tahun menunggu penyelesaian bagi projek terbengkalai ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami sentiasa meletakkan kepentingan dan keperluan rakyat sebagai keutamaan dalam apa sahaja dasar yang dilaksanakan," katanya.