13,000 orang rebut peluang kempen diskaun saman

Ramli menemui orang ramai yang hadir membayar saman trafik tertunggak di IPK Pahang pada Jumaat.
Ramli menemui orang ramai yang hadir membayar saman trafik tertunggak di IPK Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kira-kira 13,000 pengguna jalan raya merebut peluang menyelesaikan saman tertunggak menerusi Kempen Pengurangan Kompaun Saman 50 Peratus Kontinjen Pahang pada 22 November hingga 6 Disember lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 47,371 saman telah diselesaikan.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan itu, sebanyak 31,841 dibayar melalui bayaran tunai dan 15,530 menerusi pembayaran elektronik atau e-bayaran.

"Sepanjang kempen selama 14 hari itu, sebanyak 24 kaunter saman trafik dibuka melibatkan 35 petugas.

"Bagaimanapun, pengurangan saman itu tidak terpakai bagi sembilan jenis saman iaitu saman tidak patuhi lampu isyarat merah, lorong kecemasan, memotong secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar.

"Turut terkecuali ialah saman kemalangan, saman dalam perbicaraan mahkamah, saman tidak boleh dikompaun, saman berkaitan lori dan pengubahsuaian ekzos," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Jumaat.

Ramli berkata, kempen itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban orang kena saman dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Sambutan amat baik apabila orang ramai merebut peluang ini untuk melunaskan tunggakan saman dalam tempoh kempen tersebut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, polis kontinjen Pahang turut membuka kaunter saman trafik dalam tempoh pelaksanaan Kempen Pengurangan Kompaun Saman 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 hingga 12 Disember ini.

"Sambutan diterima amat menggalakkan apabila pada hari pertama kempen itu, sebanyak 2,664 saman telah diselesaikan," katanya.

Beliau turut memberitahu, salah seorang hadir pada kempen tersebut ialah seorang pengguna jalan raya yang mempunyai 97 saman tertunggak bernilai RM4,000.