Yakult anjur perlawanan bola sepak amal bantu MSDEAF

Hiroshi Hamada (lima dari kiri) bersama sebahagian penaja utama perlawanan bola sepak amal antara Pasukan Harimau Pekak Malaysia dan Pasukan Yakult All Stars yang akan diadakan pada 11 Disember depan.
Hiroshi Hamada (lima dari kiri) bersama sebahagian penaja utama perlawanan bola sepak amal antara Pasukan Harimau Pekak Malaysia dan Pasukan Yakult All Stars yang akan diadakan pada 11 Disember depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Yakult Malaysia (Yakult) akan menganjurkan perlawanan bola sepak amal yang akan melibatkan pemain bola sepak kebangsaan negara untuk membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) mengumpul dana bagi pembangunan sukan tahun 2022.

Yakult dalam satu kenyataan berkata, perlawanan amal itu adalah antara Pasukan Harimau Pekak Malaysia dan Pasukan Yakult All Stars yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bermula pada jam 4.30 petang, 11 Disember 2021.

“Pasukan Yakult All Stars ini akan melibatkan ramai nama-nama besar bola sepak Malaysia seperti Indra Putra Mahayuddin, Zaquan Adha, Syed Adney, Baddrol Bakhtiar, Faiz Subri, Azmi Muslim, Shukor Adan, Norshahrul Idlan Talaha, Nurshamil Abdul Ghani, Razman Roslan dan Azmeer Yusof.

“Turut bersama dalam pasukan Yakult All Stars ialah pemain legenda bola sepak Jepun, Masashi Motoyama dan beberapa pemain Jepun yang beraksi di Liga Malaysia yang lain seperti Yuta Suzuki, Yuki Tanigawa, Akira Higashiyama, Shuhei Fukai serta Bruno Suzuki,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kejohanan tersebut telah mendapat sokongan Majlis Sukan Negara dan perhatian daripada banyak syarikat terkemuka Jepun yang berada di Malaysia untuk menyumbang selaku penaja utama kejohanan ini seperti syarikat Panasonic, Matsuoka Projects, Ajinomoto, Mitsui & Co dan Mitsui Fudosan.

Horoshi Hamada (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar perlawanan bola sepak amal antara Pasukan Harimau Pekak Malaysia dan Pasukan Yakult All Stars yang akan diadakan pada 11 Disember depan.
Horoshi Hamada (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar perlawanan bola sepak amal antara Pasukan Harimau Pekak Malaysia dan Pasukan Yakult All Stars yang akan diadakan pada 11 Disember depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, program itu akan diadakan sebagai acara tahunan oleh pihak Yakult Malaysia dan akan diperluaskan lagi sumbangan untuk badan-badan sukan yang lain pada masa akan datang.

"Ia selaras dengan misi utama syarikat yang ingin membawa kesihatan dan kegembiraan kepada semua orang melalui penganjuran kejohanan sukan seumpama ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap dana yang dikumpulkan ini dapat menyokong Pasukan Harimau Pekak Malaysia untuk persediaan dalam perlawanan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Harimau Pekak Malaysia kini berada dalam kumpulan 24 pasukan terbaik dunia dan menduduki tempat ke-6 di Asia Pasifik (2018) serta ke-2 ASEAN (2016) untuk sukan bola sepak pekak.

“Mereka yang berminat untuk menyaksikan perlawanan amal yang julung kali diadakan ini boleh hadir beramai-ramai.

"Mereka juga boleh menyumbang kepada dana amal ini melalui pembelian tiket Raffle atau menyumbang semasa sesi lelongan barangan sukan yang akan di jalankan pada 11 Disember nanti.

“Penyumbang tertinggi akan memiliki barangan sukan yang mempunyai autograf pemain pilihan anda,” katanya.

Menurutnya, terdapat 27 syarikat lain juga terlibat selaku penaja Yakult untuk kejohanan pada kali ini.

Orang awam yang ingin menonton perlawanan tersebut dan mahu menjadi penyumbang kepada dana amal ini bolehlah membeli tiket dengan melayari laman sesawang Yakult Malaysia di www.yakult.com.my.