X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

ASTAF jemput pengadil Malaysia ke Vietnam

Gambar kecil: Abdul Halim
A
A

PENGADIL sepak takraw negara sekali lagi diberikan penghormatan apabila dipelawa mengadili perlawanan semasa temasya Sukan SEA Vietnam 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei tahun depan.

Menurut Pengerusi Pengadil Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, pelawaan itu berdasarkan rekod pencapaian cemerlang pengadil dari Malaysia dalam tiga temasya sukan Asia Tenggara itu sebelum ini.

“Pengadil ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dari Malaysia sebelum ini telah memberi kerjasama, disiplin dan komitmen tinggi dalam edisi Singapura 2015, edisi Kuala Lumpur 2017 dan edisi Filipina 2019 sekali gus meningkatkan kualiti dan integriti kepengadilan dalam komuniti sepak takraw dunia.

“Mutu pengadilan yang dipamerkan pengadil ASTAF dari Malaysia juga sangat berkualiti tinggi dan semakin meningkat ketika bertugas semasa kejuaraan ISTAF Super Series dan Kejuaraan Dunia sebelum ini.

“Saya juga percaya sebagai pengadil ISTAF dan ASTAF itu tentunya mereka mempunyai keterujaan untuk mengadili kejuaraan berprestij seperti Sukan SEA atau Sukan Asia yang melibatkan pasukan gergasi takraw sepanjang berkecimpung dalam arena kepengadilan,” katanya yang juga Presiden ASTAF kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mengesahkan Sukan SEA Vietnam 2021 yang ditangguhkan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei tahun hadapan.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, status temasya terbesar sukan Asia Tenggara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang berlangsung pada Selasa.

Pada masa sama, Abdul Halim berharap 31 pengadil ASTAF dari Malaysia akan menyahut cabaran mengendalikan edisi Vietnam yang secara tidak langsung akan memberikan mereka lebih pengalaman pada masa depan.

“Sebenarnya kemampuan dan kewibawaan mereka lebih teruji di kejohanan antarabangsa yang prestij seperti Sukan SEA dan Sukan Asia. Jadi harapan saya dalam kalangan mereka yang layak dan berkebolehan akan menyahut baik jemputan seumpama ini.

“Adalah agak janggal untuk pengadil bertaraf ASTAF dan ISTAF sekadar mengadili kejuaraan bertaraf negeri dan kebangsaan sahaja, tidak mencabar diri untuk mengendali pertandingan bertaraf antarabangsa yang menjadi tumpuan komuniti sepak takraw dunia,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!