Imigran Yaman jadi datuk bandar Muslim pertama di Hamtramck

Amer Ghalib
Amer Ghalib
A
A
A

ISTANBUL - Imigran dari Yaman, Amer Ghalib, melakar sejarah apabila memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan di Hamtramck, sebuah bandar di Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Ghalib, 42, yang berketurunan Arab Amerika pertama memenangi pilihan raya itu dan menjadi datuk bandar.

Bercakap kepada Agensi Anadolu, Ghalib berkata, tugasnya sebagai jururawat bertauliah di klinik tempatan di bandar itu membolehkannya berkhidmat dan rapat dengan masyarakat.

"Mesej saya adalah inklusif, masyarakat memerlukan perubahan dan sepanjang kempen saya buktikan kepada mereka bahawa saya mampu melakukannya," katanya.

Pada 2 November, Ghalib berjaya dipilih dengan memperoleh 69 peratus undi menewaskan penyandang jawatan itu Karen Majewski, yang sekadar mendapat 31 peratus undi.

Beliau yang akan berkhidmat selama empat tahun berjanji bekerja dalam satu pasukan dengan pegawai yang dipilih untuk membawa pelaburan ke bandar itu dan mendapatkan lebih banyak geran daripada kerajaan daerah, negeri serta persekutuan.

Hamtramck, sebuah bandar di Michigan yang berpenduduk padat, dikelilingi bandar Detroit dan Highland Park, menempatkan jumlah imigran tertinggi.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau bukan hanya menerima sokongan komuniti Muslim tetapi juga sokongan dalam kalangan penduduk bukan Muslim.

Artikel Berkaitan:

"Banyak sokongan datang daripada bukan Muslim juga sebab itulah saya menang dengan jumlah yang besar," katanya.

Dilahirkan daripada keluarga sederhana, Ghalib mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah di kampungnya di daerah al-Awd, di Ibb, Yaman selama 11 tahun sebelum berhijrah ke AS ketika berusia 17 tahun.

"Saya pernah masuk ke sekolah perubatan, tetapi minat saya terhadap politik dan khidmat masyarakat membuatkan saya memutuskan untuk bertanding untuk memastikan saya dapat memberikan khidmat dengan lebih berkesan," kata Ghalib.

Tiga anggota majlis perbandaran Hamtramck juga terdiri daripada komuniti Muslim iaitu Khalil Refai, Amanda Jaczkowski dan Adam Albarmaki. - Bernama