'Heret segera ke muka pengadilan, beri hukuman setimpal'

Maszlee ketika sidang media.
Maszlee ketika sidang media.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan mahu mereka yang terlibat dalam kes pencemaran bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, segera dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau berasa sedih selepas melihat keadaan pelajar, guru serta pekerja sekolah yang merupakan ahli keluarga Kementerian Pendidikan terlibat dalam bencana tersebut.

"Saya merasakan keselamatan untuk murid, pekerja dan guru sekolah harus diberikan keutamaan. Saya tidak mahu lagi melihat ramai di antara murid, guru dan pekerja sekolah menjadi mangsa.

"Saya bersama dengan para ibu bapa, rakyat untuk memastikan bahwa keselamatan murid, guru dan juga pekerja sekolah akan diberikan keutamaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke atas mangsa yang ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan memberikan kerjasama kepada agensi terlibat dan kerajaan negeri dalam memastikan pelaku yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan serta menerima hukuman setimpal.

Katanya, kementerian juga meminta agar pihak seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri dan lain-lain segera menangkap pelaku yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia itu.

"Kita tidak boleh lagi bertoleransi terhadap orang yang mencemarkan alam sekitar yang akhirnya menggadaikan nyawa dan juga kesihatan anak-anak kita.

"Sudah sampai waktu untuk kita mengenakan tindakan yang keras terhadap para penjenayah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya hospital, keselamatan, bomba dan kerajaan negeri kerana telah memberikan bantuan kepada mangsa.

Ditanya mengenai jumlah mangsa terkini, katanya, setakat jam 4 petang tadi, seramai 266 orang terdiri daripada pelajar dan pelajar, guru serta pekerja sekolah ditempatkan di HSI bagi mendapatkan rawatan.

"Ada setengah daripadanya yang telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) iaitu seramai 42 orang," katanya.

Maszlee berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) untuk mendapatkan taklimat dan maklumat terkini berhubung kejadian tersebut.

Katanya, pihak kementerian juga akan mengambil nasihat daripada jawatankuasa tersebut sekiranya perlu sekolah terlibat dan yang berdekatan dengan sungai terbabit, ditutup sehingga disahkan selamat secara keseluruhannya oleh pihak berkaitan.