DBS persiap belia 18 tahun sebagai pengundi

Ellron
Ellron
A
A
A

KOTA KINABALU- Kementerian Belia dan Sukan Sabah memperkenalkan Dewan Belia Sabah (DBS) sebagai persiapan Undi 18 dan menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti politik secara sihat.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, DBS diperkenalkan untuk membuka peluang kepada belia seawal 15 hingga 30 tahun untuk mewakili suara belia daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

"DBS berfungsi sebagai platform untuk menyampaikan isu-isu berbangkit serta mengemukakan cadangan penambahbaikan yang boleh membangunkan kesejahteraan belia dan masyarakat di kawasan masing-masing.

"Untuk mencapai matlamat ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan melaksanakan program kepimpinan belia yang meliputi Pendidikan Politik di peringkat Sekolah Menengah, program Outreach Leadership Non-Finito dan Kecemerlangan Kepimpinan Belia Sabah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di DUN Sabah pada Rabu.

Beliau berkata, fokus pelaksanaan program ini ialah di kawasan luar bandar untuk mendapatkan data dan isu-isu setempat berkaitan belia.

Sementara itu, menyentuh berkaitan isu sukan di negeri ini, Ellron mendedahkan Lembaga Sukan Sabah kehilangan pendapatan hasil lebih RM10 juta kesan daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ia berikutan lapan kompleks sukan di negeri ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat vaksinasi.

"Dalam usaha memerangi Covid-19, kerajaan Sabah bermula April 2020 telah mengarahkan beberapa kompleks sukan di bawah Pengurusan Lembaga Sukan Sabah dijadikan sebagai PKRC.

Artikel Berkaitan:

"Pusat itu pada masa ini juga telah dijadikan sebagai Pusat Vaksinasi," katanya.

Lapan kompleks sukan terbabit ialah Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Sandakan, Kompleks Sukan Tawau, Kompleks Sukan Keningau, Kompleks Sukan Ranau, Kompleks Sukan Sipitang, Kompleks Sukan Tambunan dan Kompleks Sukan Tenom.