KPT berada di landasan betul jaga kebajikan pelajar

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berada di landasan yang betul dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar menerusi Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Jemaah Menteri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan program menerusi empat inisiatif utama itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan pelajar tetapi warga IPT secara keseluruhannya.

Menurutnya, empat inisiatif AKM iaitu pemberian baucar makanan percuma, pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi, pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) dan penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan menjadi titik sentuh yang diharapkan rakyat di bawah teras ketiga aspirasi itu meningkatkan kesejahteraan sosial.

"Alhamdulillah, usaha KPT untuk mencapai sasaran yang ditetapkan ke atas keempat-empat AKM tersebut pada masa ini adalah berada di landasan yang betul.

"Pemberian baucar makanan melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia umpamanya, sebanyak 470,444 baucar telah diedarkan kepada pelajar B40 secara bersasar melibatkan peruntukan sebanyak RM7.06 juta.

"Inisiatif ini bukan sahaja memanfaatkan 42,633 pelajar B40 tetapi turut membantu pengusaha makanan yang terjejas di dalam kampus untuk bangkit semula dalam perniagaan mereka akibat daripada pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Cancelor Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Rabu.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Noraini berkata, sehingga November lalu, seramai 1,01,779 warga IPT yang berdaftar dalam MySejahtera dan bersedia divaksin telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi Program VACC2CAMPUS.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menerusi RTK@CAMPUS pula, sebanyak 1.17 juta unit RTK telah berjaya dibekalkan kepada pelajar sedia ada, pelajar baharu dan pelajar luar kampus yang berulang-alik serta pelajar yang menunjukkan gejala melibatkan peruntukan sebanyak RM17.5 juta.

"Inisiatif GETHIRED@KPT yang memberikan penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan telah memberi manfaat kepada 14,884 pelajar setakat ini.

"Insya-ALLAH, iltizam ini akan diteruskan dan menjadi harapan KPT juga agar lebih banyak syarikat terlibat dalam menyediakan peluang latihan serta pekerjaan kepada graduan-graduan IPT di negara ini," katanya.

Beliau turut memberi jaminan, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan KPT di bawah payung #KPTPrihatin antaranya agihan komputer riba, bantuan pelan data, bank makanan dan pembiayaan pengajian.

"Semua ini akan dilaksanakan secara berterusan oleh KPT sebagai keprihatinan kita terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar," ujarnya.