X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Program Jualan Keluarga Malaysia tarik 28,985 pengunjung

Lelongan jualan roti putih pada harga RM1 sebungkus pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Alor Gajah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima kunjungan seramai 28,985 orang dan mencecah jualan lebih RM423,000 bagi sesi pertama bermula pada Sabtu dan Ahad.

Program jualan barangan keperluan itu diadakan serentak di Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Labuan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsuzaman Sulaiman, antara barangan yang mendapat permintaan tinggi dan habis dijual ialah ayam, telur, ikan dan minyak masak.

Selain itu, jelas beliau, turut laris dijual ialah barangan keperluan harian lain seperti sayur-sayuran, beras, gula dan tepung.

“Susulan harga barang mentah serta barang keperluan asas dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran terkini, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di seluruh negara.

“Sesi pertama berlangsung pada Sabtu serta Ahad dan kita menerima kunjungan seramai 28,985 orang, malah jualan turut mencecah lebih RM423,000 dalam masa dua hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

PJKM dilaksanakan dengan usaha pelbagai agensi kerajaan seperti KPDNHEP negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut serta ialah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pemain industri peruncitan.

Pelaksanaan PJKM ini juga bertujuan untuk mencari penyelesaian terhadap situasi kenaikan harga barangan ketika ini di samping membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Bagi pelaksanaan PJKM seterusnya, Shamsuzaman berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk dimuktamadkan dengan mengambil kira maklum balas daripada pengunjung.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!