AS 'boikot diplomatik' Sukan Olimpik Musim Sejuk di China

Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing di China akan bermula dari 4 hingga 20 Februari tahun depan. - Foto AFP
Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing di China akan bermula dari 4 hingga 20 Februari tahun depan. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan bahawa tidak akan menghantar pegawai diplomatik atau perwakilan rasmi untuk menghadiri Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China yang bakal bermula pada 4 hingga 20 Februari tahun depan.

Pemulauan diplomatik ke atas sukan itu dibuat kerana AS menuduh negara komunis itu melakukan pembunuhan kaum ke atas etnik Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang.

Setakat ini, tidak ada sebarang reaksi dikeluarkan oleh Beijing berhubung tindakan Washington itu.

Keputusan itu disambut baik oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia di AS apabila Presidennya, Joe Biden berada dalam tekanan untuk menyuarakan tentang penyalahgunaan China terhadap hak-hak asasi manusia.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, pentadbiran AS tidak akan menghantar pegawai diplomatik atau perwakilan rasmi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk ekoran jenayah genosid dan jenayah menentang kemanusiaan di Xinjiang serta penyalahgunaan hak-hak asasi manusia di China.

Bagaimanapun, anggota-anggota pasukan yang bertanding di sukan tersebut termasuk jurulatih dan lain-lain kakitangan masih boleh menerima bantuan keselamatan diplomatik, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price. - Agensi

Artikel Berkaitan: