Pemandu, kelindan maut dua lori bertembung

Keadaan dua buah lori yang bertembung dalam kemalangan di Kampung Ladang, Labis, Segamat pada Selasa.
Keadaan dua buah lori yang bertembung dalam kemalangan di Kampung Ladang, Labis, Segamat pada Selasa.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang pemandu dan kelindan sebuah lori syarikat pembersihan maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Kampung Ladang, Labis di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.11 pagi.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Ramli Ibor, 58, dan kelindannya, Muhammad Helmi Karim, 30 dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori syarikat pembersihan yang bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan besi binaan. Terdapat tiga mangsa tersepit dalam nahas ini yang kemudiannya telah dikeluarkan oleh bomba.

“Dua mangsa dari lori syarikat konsesi pembersihan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Muhammad Hafifie berkata, dalam kemalangan itu, pemandu lori muatan besi turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Segamat dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya. Operasi ditamatkan pada jam 10.56 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan: