Balu korban tanah runtuh mahu cari kerja sara keluarga

Nor Shahida bersama Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri yang baru berusia tujuh bulan ketika ditemui di rumahnya di Parit Buntar pada Isnin.
Nor Shahida bersama Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri yang baru berusia tujuh bulan ketika ditemui di rumahnya di Parit Buntar pada Isnin.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Isteri Allahyarham Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Cameron Highlands pada Khamis lalu berhasrat mencari pekerjaan bagi menampung sara hidup bersama dua anaknya yang masih kecil.

Nor Shahida Saidin, 31, berkata, sebelum ini dia tidak bekerja kerana mahu menumpu sepenuhnya menjaga dua anak mereka, Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri yang baru berusia tujuh bulan.

"Anak-anak masih kecil, jadi memang wajarlah saya cari kerja. Perancangannya nak kerja kilang sahaja.

"Sebelum ini arwah memang melarang saya bekerja, tetapi seminggu sebelum kejadian, arwah ada menunjukkan dompet dan buku akaun banknya yang kosong.

"Ketika itulah dia memberi kebenaran untuk saya bekerja, tapi hanya di kawasan tempat tinggal kami di sini sahaja untuk memudahkan saya menguruskan anak-anak," katanya ketika menerima kunjungan Skuad Perkeso Prihatin cawangan Taiping di rumahnya di Parit Mat Ali di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Pengurus Perkeso Cawangan Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Muhammad Hafiz Hamdi, 31, maut apabila lori sayur dipandunya terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Simpang Pulai Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kenderaan terperangkap akibat tanah runtuh

Mangsa tertimbus dipercayai pemandu lori sayur

Dalam kunjungan itu, Perkeso menyampaikan bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen penakat yang diterima setiap bulan berjumlah RM1,300.

Sementara itu, Nor Shahida berkata, dia bersyukur menerima bantuan daripada Perkeso.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH duit ini akan digunakan sebaik mungkin untuk kami meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak," katanya yang turut berhajat melaksanakan badal haji buat arwah suaminya itu nanti.

Menurut Nor Shahida, dari hari pertama suaminya meninggal dunia sehinggalah kini, anak bongsu mereka kerap demam dan menangis.

"Mungkin teringatkan arwah ayahnya sebab dia paling rapat dengan arwah.

"Kakaknya pula (Nurhannan) selalu menyebut nama arwah setiap kali dengar bunyi motosikal, sebab dia sangka itu motosikal babahnya," katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, pihaknya melalui pusat khidmat akan membantu mencari pekerjaan sesuai dan hampir dengan kediaman buat Nor Shahida.

"Kita juga akan merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu keluarga ini memandangkan anak-anaknya masih kecil," katanya.

Runtuhan tanah di laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley sekitar jam 1.30 petang itu mengorbankan dua lelaki selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam runtuhan tanah.

Selain Muhammad Hafiz, seorang lagi mangsa merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Nor Shahida menerima replika cek sebagai bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 daripada Perkeso yang disampaikan Abdul Yunus.
Nor Shahida menerima replika cek sebagai bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 daripada Perkeso yang disampaikan Abdul Yunus.