Bertanding tiket Bebas: Ali Biju pilih berdiam diri

Ali Biju
Ali Biju
A
A
A

KUCHING - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju mengambil sikap berdiam diri susulan kritikan dilemparkan terhadap beliau berhubung penyertaannya sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli enggan memberi sebarang ulasan ketika wartawan Sinar Harian cuba untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan.

Sebaliknya, salah seorang pegawai yang mewakili beliau mengatakan tiada sebarang komen daripada Ali Biju berhubung penyertaan beliau sebagai calon Bebas dalam PRN Sarawak.

"Saya mewakili Datuk Ali Biju tidak mahu menjawab soalan anda mengenai isu ini. Saya telah baca kenyataan Wan Saiful (Datuk Wan Saiful Wan Jan) dan sekali lagi saya menjawab bagi pihak Datuk Ali Biju, 'no comment'," katanya secara ringkas ketika dihubungi Sinar Harian.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum itu berkata, ahli parti yang melanggar perlembagaan parti boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas termasuk keahlian terhenti serta-merta.

Menurutnya, sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman rasmi bahawa parti itu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak dan akan membantu bagi memastikan kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun tindakan Ali Biju yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi DUN Krian mencetuskan pelbagai kontroversi di peringkat Persekutuan.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: