Pahang wujud Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Pahang mewujudkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) yang bertindak sebagai jawatankuasa khusus mempertimbangkan pemberimilikan tanah secara berperancangan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan JKPSTR itu dipersetujui pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), 4 Ogos lalu,

Menurutnya, langkah itu susulan daripada pelaksanaan keputusan mewujudkan Skim Tanah Rakyat (STR) di Pahang sejak pelaksanaan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) sebelum ini,

"Jawatankuasa khas itu dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu wilayah timur (daerah Kuantan, Pekan dan Rompin), wilayah tengah (Maran, Temerloh, Bera dan Jerantut) dan wilayah barat (Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datin Samsiah Arshad berhubung jumlah RTK yang diluluskan di negeri ini pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, sebanyak 228 RTK telah diluluskan bagi tujuan pertanian dan bangunan (kediaman) di negeri ini dalam tempoh 2011 hingga Julai tahun ini.

"Bagi membantu memenuhi hasrat rakyat memiliki tanah sama ada bagi tujuan membina kediaman atau aktiviti pertanian kerajaan negeri turut meluluskan 24 STR dalam tempoh Ogos hingga November tahun ini.

" STR merupakan suatu bentuk pembangunan tanah menggunakan konsep dan pendekatan RTK untuk membantu memenuhi hasrat rakyat memiliki tanah sama ada bagi tujuan membina kediaman atau aktiviti pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mengambil maklum cadangan supaya keluasan tanah yang boleh diluluskan kepada pemohon dapat ditambah daripada tiga ekar kepada lima ekar (1.21 hektar kepada 2.02 hektar).

"Bagaimanapun, setelah cadangan itu diperhalusi, penetapan keluasan tanah yang boleh dipertimbangkan untuk diluluskan adalah wajar dikekalkan antara satu hingga tiga ekar sahaja (0.4 hingga 1.21 hektar)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira beberapa faktor terutamanya dari aspek kekangan keluasan tanah kerajaan sedia ada yang boleh dibangunkan yang mana kini telah menjadi semakin terhad.

Tambah beliau, keluasan tanah untuk diluluskan perlu dikekalkan bagi memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki tanah sama ada bagi tujuan kediaman atau pertanian.

"Sekiranya ramai rakyat berjaya dibantu dengan permohonan pemberimilikan tanah melalui pelaksanaan skim tanah berperancangan seperti STR itu, sudah tentunya ramai yang akan menerima faedahnya sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya.