Polis siasat sekumpulan lelaki kerumun rak mainan

Gambar tular sekumpulan lelaki mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil pada Jumaat.
Gambar tular sekumpulan lelaki mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat sekumpulan individu yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila berasak-asak mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya mengesan gambar tular di media sosial melibatkan sekumpulan lelaki tidak mematuhi SOP penjarakan sosial di sebuah kedai permainan kanak-kanak dalam pusat beli-belah tersebut.

"Siasatan awal mendapati gambar tular itu telah disahkan berlaku pada Jumaat lalu.

"Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat dalam pelanggaran SOP di premis tersebut," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.2) 2021.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita tidak berkompromi sekiranya wujud pelanggaran SOP dan mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat yang disalurkan kepada polis bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: