Polis rampas 6,910 karton rokok lari cukai

Anggota Polis Marin menunjukkan sebahagian dariapada rokok yang dirampas
Anggota Polis Marin menunjukkan sebahagian dariapada rokok yang dirampas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya merampas sebanyak 6,910 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM113,912 dalam serbuan Op Contraband di atas sebuah rumah di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama pada Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, polis turut mengesan sebuah kereta Proton Persona dipercayai baru selesai melakukan penghantaran rokok di kawasan Telok Gong, Klang.

Menurutnya, pasukan serbuan kemudian mengekori kenderaan tersebut dari Jalan Telok Gong sehingga ke sebuah kediaman di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama.

"Setelah memanggil penghuni rumah tidak bersahut, pasukan serbuan bertindak memanjat pagar dan memasuki rumah tersebut yang tidak berkunci. Suspek dipercayai telah melarikan diri melalui pintu belakang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelbagai jenis rokok di dalam rumah dan kenderaan tersebut yang disyaki tidak bercukai," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Shamsol berkata, hasil siasatan dan intipan selama hampir sebulan mendapati sindiket menyewa rumah tersebut serta beberapa lagi premis kediaman untuk dijadikan stor transit.

"Rokok tersebut dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang berdasarkan resit (DO) yang ditemui di tempat kejadian dan menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk bergerak," katanya.

Polis turut merampas dua buah kenderaan bernilai RM20,000 dan nilai cukai rokok tidak dibayar dianggarkan berjumlah RM 645,522.

Artikel Berkaitan: