Suami isteri ditahan didakwa buat ugutan jenayah

Sepasang suami isteri ditahan selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa diugut pasangan tersebut pada Khamis. - Gambar hiasan
Sepasang suami isteri ditahan selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa diugut pasangan tersebut pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Sepasang suami isteri ditahan selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa diugut pasangan tersebut pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki terbabit pada Isnin yang mendakwa isterinya dipikat oleh lelaki lain serta berkaitan ugutan jenayah.

Beliau berkata, atas maklumat, polis menahan dua orang suspek yang merupakan pasangan suami isteri itu di sini sekitar jam 3 petang Khamis.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan pengadu sering memukul dan mengugut isterinya, sehingga isterinya melarikan diri dan meminta bantuan daripada kedua-dua suspek.

"Pengadu juga sebelum ini pernah dipenjara selama lapan bulan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya menggunakan senjata tajam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu mendakwa cuba untuk membantu mangsa bagi memberi perlindungan kepadanya.

"Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tiada mempunyai rekod lampau. Mereka direman sehari sehingga Jumaat," katanya.

Tambah beliau, kesemua saksi awam telah dipanggil untuk membantu siastan mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: