X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

LZS perluas skop bantuan golongan rentan, B40, M40

A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperluas skop bantuannya kepada golongan rentan, kumpulan B40 dan M40 serta membantu pemulihan institusi yang terkesan akibat Covid-19 melalui program Zakat Selangor Peduli.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sejak diperkenalkan pada 2 Julai lepas, Zakat Selangor Peduli memperuntukkan RM69.3 juta bantuan bagi diagihkan kepada 59,000 penerima dan 431 institusi sehingga akhir tahun ini.

“Sehingga Oktober lepas, LZS berjaya mengagihkan RM56.6 juta atau hampir 82 peratus peruntukan zakat kepada golongan yang memerlukan melalui program Zakat Selangor Peduli,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Zakat Selangor Peduli melibatkan 19 inisiatif dengan empat agenda utama iaitu memenuhi keperluan fakir miskin, meringankan beban golongan rentan, pemulihan institusi agama dan membantu petugas barisan hadapan.

Bagi golongan rentan yang terkesan Covid-19 seperti B40 dan M40 hingga menyebabkan mereka diberhentikan kerja atau dikurangkan gaji, bantuan zakat sebanyak RM500 yang disasarkan kepada 15,000 penerima di bawah Zakat Selangor Peduli boleh dimohon secara dalam talian.

Mohd Sabirin berkata, sejak Julai hingga Oktober lepas, LZS membantu 95 maahad tahfiz dan 15 sekolah agama melibatkan peruntukan RM900,000 untuk kos penyelenggaraan selepas dihentikan operasi akibat Covid-19 kerana perlu membayar sewa premis serta hutang utiliti yang tertunggak.

Pada masa yang sama LZS juga menyumbang RM300,000 bagi mengimarahkan 60 masjid dan menyalurkan RM112,700 untuk peruntukan sanitasi dan baik pulih 28 masjid serta surau.

Beliau berkata, agenda Zakat Selangor Peduli yang seterusnya ialah menyokong petugas barisan hadapan dengan menyediakan program sumbangan peralatan hospital seperti alat pelindung diri, peralatan pengurusan jenazah Covid-19 kepada pusat penilaian Covid-19, pusat pemberian vaksin dan juga sumbangan makanan kering.

Bagaimanapun, Mohd Sabirin berkata, LZS kekal dengan agenda utamanya iaitu menyantuni asnaf fakir dan miskin termasuk bantuan zakat seperti kewangan dan makanan bulanan, bantuan tempat tinggal, bantuan pendidikan untuk anak-anak asnaf dan pelbagai lagi.

Katanya, terdapat segelintir golongan beranggapan memandangkan LZS berjaya memperoleh kutipan tertinggi di Malaysia tahun lalu iaitu RM913 juta, maka mereka memilih untuk membayar zakat di negeri lain sedangkan hakikatnya keperluan bantuan agihan di negeri Selangor sangat tinggi sekarang.

“Selangor sehingga kini, hanya ada lebih kurang 350,000 termasuk individu dan organisasi yang membayar zakat dan ia jauh berbeza jika dibandingkan 3.7 juta penduduk Islam Selangor yang membayar zakat fitrah,” katanya sambil mengajak orang ramai untuk menunaikan satu daripada rukun Islam yang lima itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!