Ismail Sabri umum peruntukan pembiayaan mikro, pasar malam

Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada perasmian Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK2021) di Presint 2, pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada perasmian Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK2021) di Presint 2, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat mengumumkan inisiatif bagi kebajikan penjaja dan peniaga kecil melibatkan peruntukan sebanyak RM48.5 juta untuk program pembiayaan mikro bagi golongan tersebut dan RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam.

Melalui inisiatif program pembiayaan mikro itu, beliau berkata, penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat.

Program pembiayaan mikro itu menawarkan nilai pembiayaan antara RM10,000 dan RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun, katanya ketika melancarkan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia dan Program Transformasi Pasar Malam Peringkat Kebangsaan 2021 di sini.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan mendalam kepada golongan penjaja serta peniaga kecil dan pembiayaan yang dimohon itu boleh digunakan untuk memulihkan perniagaan seperti untuk modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa dan bil utiliti.

"Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing.

“Bukan sedikit kesan yang menimpa khususnya kepada penjaja dan peniaga kecil. Ada yang tidak mampu bertahan dan terpaksa gulung tikar, tidak kurang juga terpaksa mencari alternatif perniagaan lain untuk bangkit kembali,” katanya.

Apabila ekonomi domestik kembali rancak susulan kebenaran pengoperasian pelbagai sektor ekonomi, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak meminggirkan golongan penjaja dan peniaga kecil bagi memastikan mereka kembali mencari pendapatan sekali gus menjana ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Program Transformasi Pasar Malam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, Ismail Sabri berkata, peruntukan RM25 juta itu akan membolehkan ia dilaksanakan secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau berkata, program itu mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan serta keselamatan seperti penugasan Marshal Pasar Malam bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

"Pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian," katanya yang berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengadaptasi pendekatan tranformasi pasar malam itu.

Program Transformasi Pasar Malam adalah keseragaman pengoperasian pasar malam melibatkan khemah, apron dan topi peniaga selain mematuhi garis panduan pasar malam KPKT serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara seperti sanitasi secara kendiri.

Marshal Pasar Malam pula berperanan memantau tahap pematuhan SOP dan memastikan kelancaran operasi pasar malam.

Pada majlis bertemakan ‘Keluarga Penjaja dan Peniaga Kecil Penggerak Ekonomi Rakyat’, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia. - Bernama