Mualaf Macma Kelantan terima zakat Ambank Islamic

Johari (dua, kiri) melakukan simbolik penerimaan zakat perniagaan berkenaan daripada pihak Ambank Islamic.
Johari (dua, kiri) melakukan simbolik penerimaan zakat perniagaan berkenaan daripada pihak Ambank Islamic.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 17 orang ahli Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan mendapat sumbangan zakat perniagaan daripada AmBank Islamic Berhad sebanyak RM47,000 bagi memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap berkata, ahli-ahli yang terpilih itu kebanyakannya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan berdepan masalah tunggakan hutang sewa premis dan hutang dengan pembekal barangan sejak tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh pandemik melanda.

“Ada ahli Macma yang berniaga beg di Bazar Amirah, Rantau Panjang dan akibat pandemik Covid-19, perniagaan tidak dapat dibuka. Disebabkan itu, dia mempunyai tunggakan sewa kedai selama tujuh bulan berjumlah hampir RM4,500.

“Alhamdulillah, pihak AmBank Islamic bersetuju untuk melangsaikan tunggakan tersebut. Ada beberapa orang lagi peniaga yang mengalami masalah yang sama disebabkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan, sedangkan sewa kedai serta hutang kepada pembekal masih perlu dibayar,”katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, sumbangan zakat perniagaan antara RM1,000 sehingga RM4,500 itu sekurang-kurangnya membantu peniaga berkenaan bangkit kembali selepas kerajaan membenarkan aktiviti pemulihan ekonomi dijalankan.

Katanya, mereka juga tidak perlu risau untuk membayar tunggakan hutang dan boleh fokus untuk memajukan perniagaan masing-masing walaupun terpaksa bertatih kembali.

“Kami juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada institusi kewangan seperti AmBank Islamic Berhad serta badan korporat dan syarikat perniagaan lain.

“Bantuan seperti ini boleh meringankan beban mereka yang memerlukan. Sebelum ini mereka buntu untuk mencari jalan penyelesaian masalah mereka, namun kini mereka sudah boleh bernafas lega. Mana-mana pihak yang ingin membantu mualaf Macma boleh hubungi kami untuk dapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan: