Tiga pekerja kilang simen cedera dalam kebakaran

Pasukan bomba menjalankan pemadaman bara arang batu dan pemeriksaan di tempat pengisar arang batu di sebuah kilang simen di Gopeng. -Foto ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba menjalankan pemadaman bara arang batu dan pemeriksaan di tempat pengisar arang batu di sebuah kilang simen di Gopeng. -Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

GOPENG - Tiga lelaki cedera apabila tempat pengisar arang batu terbakar dalam kejadian di sebuah kilang simen di Kota Bahru, di sini pada Khamis.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Norzamri A Wahab berkata, sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.

"Pemeriksaan mendapati kebakaran tersebut melibatkan tempat pengisar arang batu yang telah mengakibatkan beberapa letupan kecil dan percikan api.

"Akibat kejadian itu, tiga mangsa termasuk seorang warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an melecur di tangan dan dada," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membantu memberi rawatan awal kepada ketiga-tiga pekerja kilang terbabit.

"Mangsa yang telah diberikan rawatan awal kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan yang tiba lokasi kejadian.

"Operasi diteruskan dengan melakukan pemadaman bara arang batu dengan menggunakan aliran air sehingga padam sepenuhnya. Operasi tamat pada jam 8.50 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan: