X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Ayam sejuk beku luar negara dibawa masuk

Kerajaan akan membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ayam tersebut dijangka berada di pasaran tempatan minggu hadapan.

"Kita bangkitkan pasaran dengan ayam luar bagi memberi pilihan kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, peningkatan harga ayam di pasaran sehingga RM9.80 sekilogram (Kg) adalah di luar kebiasaan.

"Walaupun pernah naik sehingga lebih RM10 per kg, namun jarang-jarang berlaku dan kebiasaannya sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barangan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di My Farm Outlet Kasih Presint 9, dekat sini pada Rabu.

Bagi mengatasi kenaikan harga ikan disebabkan musim tengkujuh pula, Ismail Sabri memberitahu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan melakukan lambakan ikan sejuk beku bagi memenuhi permintaan.

"Kita hentikan eksport ikan keluar negara kerana rakyat kini dibebani dengan harga tinggi," katanya.

Ismail Sabri berkata, kenaikan harga barangan di pasaran sememangnya berlaku dan ia bukan disebabkan oleh peniaga atau pemborong sebaliknya ia berpunca daripada pelbagai rantaian.

"Saya buat tinjauan di sini memang benar diakui harga naik," katanya.

Ujarnya, setiap rantaian mempunyai keuntungan dan apabila barangan sampai ke pengguna ia menjadi tinggi.

Justeru katanya, MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diarahkan melihat isu orang tengah.

"Rakyat marah dengan situasi ini dan kita kena lakukan sesuatu," katanya.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil KPDNHEP terhadap pihak yang memanipulasikan harga barangan.

"Saya minta KPDNHEP melakukan penguatkuasaan tegas kepada mereka yang mengambil kesempatan memanipulasi harga," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!