Peroleh PLKS dalam sehari di Pusat ESC Satelit KLIA

Hamzah (tengah) ketika melancarkan Pusat ESC Satelit di balai ketibaan KLIA pada Selasa.
Hamzah (tengah) ketika melancarkan Pusat ESC Satelit di balai ketibaan KLIA pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Pemerolehan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dapat diselesaikan hanya dalam sehari menerusi Pusat Servis Divisyen Ekspatriat (ESD) Satelit (ESC) yang dilancarkan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif berkenaan memberi kemudahan kepada ekspatriat yang ingin mendapatkan PLKS untuk memasuki sempadan negara tanpa perlu menunggu 30 hari seperti sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini menerusi sistem lama, ekspatriat perlu memohon dari luar negara sebelum diberikan pas Imigresen dan apabila tiba di negara ini mereka perlu menunggu 30 hari sebelum mendapat pelekat PLKS atau pas penggajian.

"Ia menjadi satu perkara yang merumitkan kepada ekspatriat kerana ada antara mereka yang hanya masuk selama dua minggu, jadi kita buat sistem ESC yang lebih pantas dari mana-mana sistem di dunia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat ESC Satelit di sini pada Selasa.

Hamzah berkata, sistem baharu ini bukan sahaja bermanfaat kepada penduduk tempatan malah memudahkan urusan ekspatriat, pelabur asing dan dewan perniagaan dari dalam dan luar negara.

"Saya telah uji sistem ini dengan seorang pekerja dari sebuah kilang pembuatan besi, di mana dia masuk ambil tiket lalu terus pergi ke kaunter dan tidak sampai seminit dia dapat pelekat PLKS," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memperhalusi prosedur dan ciri-ciri individu yang boleh diklasifikasikan sebagai ekspatriat seterusnya seseorang itu layak atau tidak untuk menggunakan sistem berkenaan.

"Bila sebut ekspatriat, ini yang menjadi masalah kerana apakah mereka ini hanya yang bergaji RM5,000 atau RM3,000 sebulan? Kita akan akan buat kajian untuk menentukan di manakah letaknya status ekspatriat yang akan kita beri untuk menggunakan semua fasiliti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi ekspatriat klasifikasi Tier 1, 2 dan 3 sedia ada boleh menggunakan kemudahan Pusat ESC Satelit tersebut untuk mendapatkan PLKS sehingga pengumuman sistem klasifikasi yang baharu dibuat.

"Buat masa ini, lebih kurang 140,000 ekspatriat termasuk tanggungan, manakala ekspatriat yang masih aktif seramai 86,280 orang. Ini merupakan angka yang besar sebab itu kemudahan yang diberikan ini lebih relevan," katanya.