Sempadan Malaysia-Singapura kembali rancak

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

LALUAN Perjalanan Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang ditunggu-tunggu akhirnya dibuka bermula Isnin.

Pembukaan tersebut serentak dengan pelancaran VTL udara yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Keputusan membuka sempadan udara dan darat oleh kerajaan Malaysia dan Singapura amatlah dialu-alukan. Dengan sempadan kedua-dua negara mulai dibuka berperingkat, ia tentu membawa khabar berita menggembirakan khususnya ahli keluarga yang lama terpisah akibat pandemik Covid-19.

Kegiatan ekonomi di Johor Bahru pastinya akan kembali rancak setelah berada dalam keadaan tenat sejak 20 bulan lalu. Tidak dinafikan, banyak sektor perniagaan seperti perhotelan, pelancongan dan restoran di Johor bergantung dengan kedatangan pelancong dari Singapura.

Begitu juga warga tempatan yang sebelum ini berulang-alik setiap hari mencari rezeki di Singapura. Dengan terbukanya sempadan darat, ia sudah memadai bagi mereka melepaskan rindu untuk pulang ke Malaysia.

Buat permulaan, VTL darat hanya dihadkan kepada pengangkutan bas. Melalui penggunaan pengangkutan berkenaan, kedua-dua negara menetapkan kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang.

Selain itu, pengembara yang dibenarkan menggunakan VTL darat adalah terhad kepada warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun, penguatkuasaan ketat masih dilakukan dengan hanya membenarkan pengembara yang layak tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini Malaysia dan Singapura sudah mencapai lebih 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin. Walaupun jumlah kes Covid-19 di Malaysia dan Singapura ketika ini agak stabil, namun langkah-langkah pengawasan dan pencegahan perlu diutamakan.

Sejak akhir-akhir ini Malaysia dan Singapura telah mencatatkan peningkatan kes Covid-19. Itulah yang perlu menjadi kebimbangan ketika ramai rakyat kedua-dua negara ghairah melakukan lawatan.