X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

TPB2030, hala tuju agenda Bumiputera 10 tahun akan datang: Teraju

A
A

TINDAKAN Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Disember ini merupakan hala tuju agenda Bumiputera yang baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Md Silmi Abd Rahman.

Beliau berkata, objektif utamanya adalah untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi memastikan kelestarian dan kesaksamaan antara kaum dapat dicapai selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar tiada Bumiputera ketinggalan.

“Naskhah (yang akan dilancarkan) ini adalah untuk generasi baharu dan akan datang. Rasionalnya kita berbuat begitu adalah untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi.

“Kita mahu memartabatkan sosioekonomi Bumiputera. Kita mahu mereka lebih kompetitif dan mempunyai integriti tinggi serta menjadi peserta global (pada masa akan datang).

“Kita mahu generasi muda mempunyai satu wawasan iaitu sanggup dan berani keluar di persada global atau serantau, dan paling penting tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Kami (Teraju) hanya (sebagai) pengupaya sahaja iaitu pemudah cara,” katanya pada taklimat mengenai majlis pelancaran TPB2030 di sini pada Isnin.

TPB2030 akan memperkenalkan perancangan strategik berimpak tinggi yang berupaya menghasilkan Bumiputera masa hadapan yang dinamik, berdikari dan berintegriti serta bersaing di peringkat global dalam memartabatkan maruah bangsa.

Majlis pelancaran akan diadakan di Dewan 4 dan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan turut melibatkan penyertaan 33 pempamer.

Ia bertujuan memperkenalkan dan menghebahkan visi dan misi TPB2030 yang dibangunkan oleh Teraju selaku agensi penyelaras utama yang dimandatkan oleh Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Tujuh bidang keutamaan TPB2030 adalah mempercepatkan pembangunan sosiekonomi Bumiputera; menambah baik tadbir urus dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan; memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan; meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera; meningkatkan penciptaan kekayaan Bumiputera; memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf; dan memastikan pemilikan ekuiti korporat yang mampan.

Selain itu, tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi turut dikenal pasti untuk mencapai tujuh sasaran itu menjelang 2030.

Ia terdiri daripada pertanian dan komoditi, ekonomi digital, hab halal dan makanan, hab kewangan Islam, logistik, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan.

Sebanyak 16 memorandum persefahaman (MoU) dijadual ditandatangani antara Teraju dengan pelbagai pihak pada majlis itu iaitu Petronas Dagangan Bhd, Microsoft, Bank Islam, EXIM Bank, Agro Bank, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Brainy Brunch, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Agensi Depositori Teknologi (TDA), NanoMalaysia Bhd dan Yayasan Sabah.

Selain itu, Teraju akan turut memeterai MoU dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, UiTM Sarawak, Borneo Start Up Accelerator (MDEC), Pusat Biodiversiti Sarawak, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!