Kanak-kanak tiga tahun derita ketumbuhan

Norhayati menunjukkan mata kanan anaknya yang semakin membengkak.
Norhayati menunjukkan mata kanan anaknya yang semakin membengkak.
A
A
A

MELAKA - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Pulau Gadong, di sini terpaksa menahan derita selepas mengidap ketumbuhan di bahagian mata kanan.

Ayu Humairah Mohd Zambari yang dilahirkan secara pembedahan bagaimanapun dikesan mengidap sakit itu sejak berusia tiga bulan.

Ibunya, Norhayati Mohamad, 41, berkata, semasa lahir anaknya normal dan tidak mengalami sebarang masalah namun ketika berusia tiga bulan berat badan anak bongsu dari empat beradik itu mulai susut mendadak dan kerap muntah.

Menurutnya, tiga bulan kemudian dia membawa anaknya berjumpa doktor mata dan menjalani 'CT Scan' di Hospital Melaka, namun doktor memaklumkan sekiranya dibiarkan kemungkinan ketumbuhan itu boleh menghimpit saraf mata.

"Dalam tempoh itu sehinggalah usia anak saya tiga tahun, kami masih lagi meneruskan rawatan dan dirujuk kepada doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Dengan gaji harian RM50, sukar untuk kami menanggung kos rawatan dan kos pengangkutan ke Kuala Lumpur ditambah pula suami sudah setahun lebih tidak bekerja kerana mengidap penyakit tibi," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong pada Jumaat.

Ban Hong (kanan) ketika menziarahi adik Ayu Humairah yang mengidap ketumbuhan di bahagian mata di rumahnya di Pulau Gadong pada Jumaat.
Ban Hong (kanan) ketika menziarahi adik Ayu Humairah yang mengidap ketumbuhan di bahagian mata di rumahnya di Pulau Gadong pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Norhayati berkata, selain kos rawatan Ayu Humairah dia juga perlu menanggung tiga orang anaknya yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

"Pernah juga disebabkan kesempitan hidup kami terpaksa ke HKL dengan menaiki bas.

"Saya harap anak saya kembali sembuh dan berpeluang melihat dengan sempurna seperti orang lain," ujarnya.

Sementara itu, Ban Hong yang bersimpati dengan nasib yang dialami kanak-kanak itu berkata, beliau akan merujuk kepada HKL untuk mengetahui dengan lebih lanjut status ketumbuhan yang dihidapi Ayu Humairah itu.

"Jadi dari situ kita akan dapat tahu sama ada pembedahan itu perlu disegerakan atau sebaliknya.

"Saya juga berharap Ayu Humairah dapat melihat secara sempurna berbanding dengan keadaan sekarang di mana mata sebelah kanannya hampir tertutup," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan awal sebanyak RM1,000 turut disumbangkan sekali gus dapat meringankan kos rawatan kanak-kanak itu ke HKL pada bulan depan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Norhayati 0499541100079474.